duit raya

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

Tuesday, March 31, 2009

Thursday, March 5, 2009

Polis benar himpunan anti-PPSMI

kemaskini 3.52pm - Polis membenarkan perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Bagaimanapun perhimpunan hanya dibenarkan diadakan di Masjid Negara jam 2 petang, sementara dua lokasi lagi yang dirancang - Pasar Seni dan kompleks membeli-belah Sogo - tidak jelas.

Setiausaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas memberitahu Malaysiakini sebentar tadi, polis bagaimanapun melarang perarakan ke Istana Negara seperti dirancang.

"Kami dimaklumkan boleh berhimpun di Masjid Negara tetapi perarakan (ke Istana Negara) tidak boleh," katanya.

Beliau dimaklumkan, tambahnya, perarakan itu tidak dibenarkan setelah polis mempertimbangkan faktor keselamatan.

Bagi menyerahkan memorandum gabungan itu kepada istana, polis menawarkan khidmat menghantar pemimpin GMP ke lokasi itu menggunakan kenderaan pasukan keselamatan itu, kata Hasni.

Kebenaran itu dimaklumkan oleh polis sewaktu pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad, timbalannya Dr Shahrir Mohd Zain dan beliau sendiri ke ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur pagi tadi.

Keputusan terbaru ini membayangkan polis mengambil sikap bertolak ansur selepas amaran diberikan kepada orang ramai semalam agar tidak menyertai perhimpunan itu.

Ditanya tindakan lanjut GMP setelah mendapat kebenaran polis itu, Hasni berkata, gabungan itu akan bermesyuarat petang esok di ibu pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) bagi memutuskan perkara itu.

Semalam, Istana Negara dilaporkan bersedia menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera.

Satu salinan memorandum pemansuhan PPSMI telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong kelmarin, kata Dr Hassan. - MKini

Wednesday, March 4, 2009

Jom BANTAH..jadikan anda orang yg ke 100k SABTU ini..



Pakaian PUTIH
Tanpa sebarang logo
Tanpa Bendera
Tanpa Simbol parti politik
Tanpa Provokasi

ISTANA SETUJU TERIMA MEMO ANTI – PPSMI - Mkini

Istana Negara memberikan reaksi positif bagi menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Persetujuan istana itu dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang menganjurkan perhimpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata istana tidak melarang majlis penyerahan memorandum tersebut.

Beliau dimaklumkan Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berada di istana pada masa yang dijadualkan dan memorandum tersebut akan diserahkan kepada seorang pegawai bagi pihak baginda.

Dr Hassan menambah, satu salinan memorandum tersebut telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Memorandum lapan halaman itu diserahkan awal, tambahnya, sebagai makluman kehadiran mereka di istana, petang 7 Mac ini.

GMP merancang berhimpun di tiga tempat di ibu negara – kompleks membeli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara – sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara pada jam 2 petang.

Mereka merancang berarak dalam pakaian putih sebagai lambang pembersihan PPSMI, tanpa sebarang logo, bendera dan simbol parti-parti politik walaupun GMP turut disertai PAS dan PKR.

Demo anti - PSSMI diteruskan

Kepada semua di maklumkan Demo anti PSSMI yang dijadualkan 7 Mac 2009, 2 petang di depan Istana Negara akan tetap dijalankan seperti yang dijadualkan.

Berita baik, usaha penganjur untuk menyelamatkan Bahasa Melayu telah mendapat 'pengiktirafan istana' apabila Istana Negara memberikan reaksi positif bagi menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini. sila klik sini untuk membaca lanjut.

cheGuBard menyeru semua tak kira latar politik, agama atau bangsa untuk hadir sama menyokong usaha ini. cheGuBard akan berada sebelum jam 2 di Masjid Negara untuk sama mengikuti perhimpunan ini. Di khabarkan ramai pemimpin kanan KEADILAN akan turut sama. Difahamkan permit kebenaran berhimpun sudah dipohon oleh penganjur. Namun seperti biasa polis menjalankan kerja ukut manual biasanya iaitu bagi amaran jangan hadir. Namun percayalah jika ramai hadir seperti BERSIH polis pun tak mampu buat apa.

TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT

Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-

" Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf : 20)


Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-

a) Perbezaan dengan binatang.

Allah SWT berfirman :

" Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26)

Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat.

b) Agar kaum wanita tidak disakiti

Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59.

c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.

Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam).. »

Dari sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati »


d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam. Kita dapat memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau restoran hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu. Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun di sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di kalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar. Semua menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak beruniform.

Justeru, Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia. Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard' pemakaian yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan logik aqal manusia yang sihat.


e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.

Saya kira hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya" (Al-Mulk : 2)


DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER

Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.

"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.

"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.

Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)

Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.

"Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"

Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"

Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya ?

Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)


Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.


Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'.


Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith :

إنما أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض , فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع له قطعة من النار

Ertinya : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka" (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )


Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.


Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW

من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً

Ertinya : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )


Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya ?.


Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ?


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

PENGHORMATAN BUKAN DIPAKSA

PENGHORMATAN BUKAN DIPAKSA

Penghormatan di beri bukan diminta-minta. Individu dihormati bukan kerana paksaan undang-undang atau akta. Kalau ada sesiapa tidak ingin menghormati Tuan, Mador, Ketua Pejabat, Cikgu atau Raja - tidak ada apa-apa yang boleh di lakukan. Menangkap, merotan atau di masukkan ke dalam penjara - tidak akan melahirkan apa-apa penghormatan.

Che Guevera di hormati oleh anak-anak muda diseluruh dunia bukan kerana ada undang-undang dari Bangsa Bangsa Bersatu atau ada arahan dari IMF atau Mahkamah Dunia. Che diberi penghormatan kerana hati naluri anak-anak muda mahu menghormati. Che Guevera tidak pernah meminta-minta penghormatan ini kerana dia telah lama mati.

Penghormatan yang ditimbulkan melalui undang-undang, kuasa atau pangkat bukan penghormatan – ini penghormatan yang pura-pura. Mahathir satu ketika dahulu di hormati kerana dapat memberi habuan kontrek. Malah Mahathir sendiri sedar hingga dia membebel sesudah kalah untuk menjadi delegasi Kubang Pasu ke Perhimpunan United Malays National Organisation pada tahun 2006 dahulu. Dia membebel kerana tidak ada lagi orang yang datang mencium tangannya.

Lihat pula Abdullah Badawi – belum pun tamat menjadi PM – kerana tanda tangannya tidak lagi laku - tidak mendatangkan kontrek – tidak ramai menteri dan para pembodek yang datang berhari raya di Kepala Batas tahun lalu.

Berilah apa sahaja nama dan darjah penghormatan – dari Tun , Tan atau Tin.– ianya hanya tin-tin yang kosong tidak membawa apa-apa pengertian. Pakaikan baju kuning, merah atau kelabu – pasangkan lah tanjak tujuh tingkat – semuanya tidak ada makna. Hormat datang dari hati.

Pada tahun 1964 Jean Paul Sartre dianugerah Hadiah Nobel Sastera. Dia tidak pun datang mengambil hadiah ini malah Sartre langsung tidak ambil pot. Dia menolak penghormatan yang mengada-ada. Tetapi idea dan falsafah Jean Paul Sartre masih mengegarkan dunia. Idea dan falsafah inilah yang dinobatkan untuk dihormati dari segala bentuk penghormatan yang pura-pura.

Bagitu juga Le Duc Tho yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1973. Dia juga tidak pergi ke Stockholm untuk mengambilnya. Hingga ke hari ini Duc Tho masih di hormati dan diingati sebagai patriot Vietnam yang merangka dan membuka jalan damai untuk negaranya pada tahun 1972.

Justeru apabila ada gerombolan gerombolan yang meloncat mengambur meminta dan memaksa orang ramai agar menghormati raja maka permintaan ini kelihaatan sebagai lawak bodoh. Meminta di hormati, memaksa di hormati atau melembagakan penghormatan bukan penghormatan namanya. Penghormatan datang secara sukarela dari hati suci yang ikhlas dan jujur. Penghormatan yang suci bukan kerana upah, dipaksa, atau dijanjikan dengan pangkat dan kontrek.

Kalau seorang anak sekolah ditarik telinga dan di paksa menghormati Guru Besarnya maka untuk beberapa saat ( ketika telinganya sakit ) mungkin anak sekolah ini akan berkata bahawa dia menghormati si Guru Besar. Terlepas sahaja telinganya dari di pulas, anak sekolah ini bukan sahaja tidak akan menghormati si Guru Besar ini malah besar kemungkinan si Guru Besar akan di baling dengan najis. Ini hakikat.

Bila saya menulis ini - kita telah masuk ke bulan March 2009. Cerita-cerita karut tentang daulat raja, tulah raja, jampi raja – semuanya tidak di percayai lagi. Anak-anak muda hari ini tidak lagi gempaq dengan daulat raja – mereka gempaq dengan penyanyi rock n roll. Anak muda hari ini akan gempaq dengan pemain bola, pemusik, pelakon, pengodam internet atau pembawa kounter culture yang melawan arus. Ini hakikat bukan sahaja di Malaysia malah inilah jalur pemikiran anak muda di seluruh dunia.

Pergi lawati bilik anak muda – tidak mungkin akan di temui gambar Sultan, Raja atau Shah di dinding bilik. Besar kemungkinan akan di temui gambar sebuah kugiran rock, wajah seorang rock star atau mungkin poster Che Guevera. Belum pernah ada dalam dunia ini seorang anak muda yang akan bergadai bergolok untuk mendapatkan baju T gambar seorang Raja – tetapi mereka sanggup ke E-bay untuk membida baju arwah John Lennon yang ori. Ini hakikat kerana kerana kita telah sampai ke tahun 2009.

Raja Moroko, Ratu Elizebeth, Sultan Berunai, Raja Abdulah al-Saud atau Sultan Perak - jika tidak kerana protokol – jika pegawai-pegawai kerajaan tidak di arahkan, jika anak-anak sekolah tidak di paksa - dewan akan kosong. Tidak akan ada ramai orang yang datang memenuhi dewan untuk mendengar susuk-susuk ini berucap.

Sampai kiamat pun anak-anak muda tidak akan membayar harga tiket 200 ratu ringgit untuk mendengar mereka membebel. Tetapi anak-anak muda sanggup turun ke Singapura atau naik ke Bangkok untuk mendengar sebuah rock band datang bermain. Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak, harus sedar diri, pada hari ini tidak ramai lagi orang yang ambil pot kerana nama mereka bermula dengan raja. Ini hakikat tahun 2009.

Masyarakat urban tidak lagi mencari makan dari hasil tanah. Mereka memburuh. Mereka membanting tulang di kilang dan di pabrik. Apabila mereka meninggalkan tanah, berhijrah ke bandar bererti mereka telah memutuskan hubungan dengan budaya feudal. Masyarakat urban melahirkan budaya mereka sendiri – budaya dan gaya hidup yang tidak lagi bergantung kepada raja atau sultan. Dalam budaya urban sistem feudal tidak memainkan peranan.

Memang ada wujud kumpulan kumpulan yang masih menganggap kaum feudal itu wajib dihormati kerana darah keturunan mereka. Kumpulan ini adalah mereka yang ingin menahan gerak dan arus pembudayaan dunia moden hari ini. Malah di Peranchis, sebuah negara Republik masih ada warga yang cuba membawa kembali sistem Beraja di Peranchis. Mereka bernostalgia terhadap zaman feudal yang telah terkambus.

Di Tanah Melayu juga masih ada kumpulan dan gerombolan yang percaya dengan ‘daulat’ raja. Sebenarnya, ini berlaku kerana kepentingan ekonomi mereka bergayut dengan kaum feudal. Mereka ingin memastikan yang kepentingan ekonomi mereka akan dapat dipayungi oleh kaum feudal. Justeru, mereka sanggup membeli derajat kebesaran agar mereka dapat juga dilihat ‘besar’.

Hakikanya - kumpulan dan gerombolan pro-feudal ini dari sehari ke sehari semakin berkurangan. Pengurangan kumpulan dan gerombolan ini bukan di rancang. Pengurangan ini muncul dengan sendiri kerana asas ekonomi telah berubah.

Dalam konteks asas ekonomi kapitalis moden - keupayaan individu dinobatkan bukan kerana darah keturunan. Barack Obama, Micheal Jackson atau Colin Powell berada ditempat mereka berada hari ini bukan kerana mereka cucu kepada Raja Buganda dari Afrika tetapi kerana fikrah dan keilmuan mereka. Ini hakikat.

Ini bukan bermakna kita tidak meghormati Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak. Sebagai sesama insan kita wajib menghormati satu sama lain. Kita juga wajib beradab dan bersopan terhadap mereka. Penghormatan, adab sopan yang kita tunjukkan kepada mereka bukan kerana mereka Raja. Mereka berhak menerima penghormatan dari kita jika mereka memiliki keintelektualan dan fikrah yang unggul.

Perhormatan yang ikhlas dan dilakukan secara sukarela tidak berhujung dan tidak bernoktah. Seperti Che Guevera dari zaman berzaman susuk ini akan terus di muliakan walau pun telah lama mati. Tidak seperti Mahathir yang terpaksa membebel untuk di hormati. Atau seperti Ghazali Shafie atau Muhamad Rahmat yang seperti tunggul pergi tersepak dan pulang terlanggar.(TT)